Pak Lah Tukar WPI kepada Iskandar Malaysia?

April 11, 2008 by wilayahpembangunaniskandar

Dipetik dari khairulfaizi - http://minda-kembara.blogspot.com/

“Dengan penuh tekun, saya menanti kemunculan Pak Lah dihadapan kaca televisyen dalam Buletin Utama kerana pada sebelah siang tadi Pak Lah telah hadir ke Johor dalam lawatan beliau untuk mengembalikan sokongan pimpinan UMNO kepada beliau.

Wajahnya sangat lesu dan kata-kata Pak Lah seperti sangat berat untuk dikeluarkan daripada mulut sehinggakan Pak Lah tersasul menyebut “untuk menyelesaikan masalah problem…”.

Pak Lah terlupa agaknya masalah dan ‘problem’ tu sama sahaja. Kehadiran Pak Lah ke Johor hari ini memang mempunyai beberapa agenda yang tersirat dan tersurat. Selain daripada bertujuan untuk mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO negeri Johor dan Ketua UMNO Bahagian-bahagian (berkempen secara tidak langsung untuk pemilihan parti) Pak Lah juga hadir untuk mengumumkan bahawa Wilayah Pembangunan Iskandar akan bertukar nama sekali lagi. (Tukar nama lagi???) 

Saya ingin mengulas beberapa perkara dalam kunjungan Pak Lah ke Johor khususnya Pak Lah sekarang ini sedang dilanda masalah untuk mengekalkan kedudukan sebagai Presiden UMNO tetapi ketika ini saya ingin menyebut tentang pengumumkan Pak Lah bahawa Wilayah Pembangunan Iskandar telah diubah namanya, sekali lagi.Wilayah Pembangunan Iskandar (Iskandar Development Region) merupakan koridor pembangunan yang dilaksanakan di selatan Johor. Sebelum ini, koridor ini dikenali sebagai South Johor Economic Region (SJER) atau Pembangunan Wilayah Ekonomi Selatan Johor. SJER ditubuhkan pada 30 Julai 2006 dan pada 4 November 2006 koridor ini dinamakan pula WPI bersempena nama Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

Hari ini Pak Lah mengumumkan koridor ini ditukarkan nama Iskandar Malaysia (IM).Saya tidak faham kenapa perlu koridor ini ditukar namanya sekali lagi. Adakah Pak Lah beranggapan bahawa dengan menukarkan nama WPI kepada IM akan meningkatkan pelaburan ke koridor tersebut? Saya pasti dengan penukar nama ini akan meningkat lagi kos koridor tersebut.  

Jika anda melayari laman web berikut, http://www.idr.com.my/ (laman web untuk WPI) dan http://sjer.com.my/ (laman web untuk SJER) anda akan melihat paparan yang sama kerana kedua-dua laman web ini diwujudkan untuk mempromosikan koridor ini. Adakah selepas ini satu lagi laman web akan diwujudkan lagi sempena nama baru bagi WPI?  

Paling pasti, Pak Lah menyebut bahawa penukaran nama koridor ini tidak mengubah polisi yang telah diputuskan sebelum ini. Bermakna, perkara yang berkaitan dengan pemilikan tanah, kebanjiran pekerja asing, keutamaan yang diberikan kepada pelabur asing dan pelbagai perkara yang dibentangkan sebelum ini oleh bekas ADUN Senggarang, Dr Mohd Ramli Bin Mohd Kari dalam sidang DUN Johor tidak akan berubah. 

YB Dr Mohamad Taslim (PAS - Maharani), YB Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh (PAS - Sungai Abong) dan Dr Boo Cheng Hau (DAP – Skudai) serta YB pembangkang yang lain mesti memainkan peranan mereka dalam menyelesaikan masalah berkaitan dengan SJER atau WPI atau IM yang bakal menghantui rakyat Johor pada masa akan datang.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Taman Renggam

Jaya, Simpang Renggam
11 April 2008, 9.08 malam
http://minda-kembara.blogspot.com/

 

Ini Mungkin Berlaku Kepada Kita…

April 4, 2008 by wilayahpembangunaniskandar

Tanah dan Maruah Diri

jika-tanah-diambil.jpg

Adakah ini akan berlaku kepada rakyat di Johor selepas tanah mereka diambil bagi tujuan WPI? Tiada siapa yang boleh berbuat apa-apa jika jadi macam ni. Isu tanah adalah amat sensitif kerana melibatkan harga diri dan maruah seseorang. Bayangkan jika kita dan keluarga dihalau keluar dari rumah yang sudah kita duduki berpuluh-puluh tahun. Kita sudah tiada harga diri. Macam apa yang berlaku di Palestin, red indian di amerika dsb. Perkara ini boleh berlaku jika kerajaan (negeri atau persekutuan) bertindak menggunakan Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil mana-mana tanah bagi tujuan kebaikan rakyat ramai (subjektif utk diukur). Akta ini masih boleh dihalang jika Kerajaan Negeri tidak meluluskan kerana tanah adalah dibawah bidang kuasa eksekutif negeri sebagaimana dinyatakan di bawah Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan. Kecuali negeri diperintah oleh kerajaan yang sama dengan kerajaan persekutuan maka kecenderungan untuk kerajaan negeri meluluskan permohonan kerajaan persekutuan adalah tinggi. Dalam kes di Johor, kerajaan negeri adalah sama dengan kerajaan persekutuan (BN).

Sebab itu jika diselidiki dan diteliti sebenarnya tanah tidak bertuan yang beribu-ribu ekar di hutan yang belum diteroka boleh diserahkan kepada sesiapa sahaja atas kelulusan kerajaan negeri dengan hanya mengendorse (mengeluarkan) geran atau suratan hakmilik kepada individu atau syarikat tersebut. Ramai ADUN yang mampu memiliki tanah beribu ekar adalah melalui cara ini. Pergi ukur tanah seluas mana yang hendak dan buat pelan sendiri. Tanah bertuan diletakkan nama sendiri. Hakmiliknya dibuktikan melalui geran yang dikeluarkan.

Bagi kes di atas, tanah yang diduki tidak mempunyai hakmilik. lagi parah sebab bukti pendudukan bukan bukti hakmilik dari segi undang-undang (manusia/malaysia). Kita di Malaysia mengikut sistem penjajah (UK, Austalia dsb) yang mengamalkan sistem yang diberi nama Sistem Torrens. Sistem Torrens ini menyatakan bahawa bukti pemilikan tanah seseorang adalah berdasarkan suratan hakmilik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Jangan seronok dulu kepada yang ada geran (sampai orang nak tengok geran pun takut nak tunjuk), sebenarnya ada 2 salinan geran asal. Satu disimpan oleh tuan tanah dan satu lagi disimpan di Pejabat Tanah/ Pejabat Tanah dan Galian.

Geran yang disimpan oleh tuan tanah tidak berguna kerana pengambilan tanah atau ubah sempadan atau pecah sempadan adalah berdasarkan geran tanah yang disimpan di pejabat tanah bukan yang disimpan oleh tuan tanah. Geran di pejabat tanah adalah yang muktamad. Itu yang terdapat kes nama dalam geran di tangan lain tetapi nama di dalam geran di pejabat tanah lain. Sesiapa sahaja boleh memohon untuk melihat geran tanah sesiapa sahaja di pejabat tanah dengan bayaran RM30. Kita boleh tengok nama pemilik, luas, berapa bahagian setiap pemilik (1/2,1/4/ atau 3/4 dsb), lokasi dan juga sesiapa yang mengkaveat (meletakan hak keatas tanah macam bank, cagran tanah, pemilik bersama dsb) ke atas tanah tersebut. Contoh mudah, kita beli rumah di taman perumahan, di dalam geran sebenarnya akan dikaveatkan nama bank dalam geran menunjukkan tanah tersebut boleh dituntuthak/dilelong oleh bank jika kita tidak boleh bayar pinjaman perumahan tersebut.

Bagusnya, pergilah setahun sekali atau bila-bila perlu terutama jika ada konflik berkaitan tanah ke pejabat tanah untuk mintak semak hakmilik (ramai yang tak tahu dan takut nak pegi pejabat tanah). Siapa empunya, apa hak anda, berapa bahagian keluasan anda punya. Ini akan menjadi rumit jika ada kematian dan dalam pembahagian harta pusaka. Boleh bergaduh sampai putus saudara. Berhati-hati hal tanah. Ia melibatkan maruah dan harga diri.

Bank Rakyat disaran melabur di WPI

April 1, 2008 by wilayahpembangunaniskandar

bank-rakyat.jpg

JOHOR BAHRU 29 Feb. - Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Bank Rakyat) disaran membuat pelaburan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) memandangkan potensi tinggi dimiliki kawasan pembangunan koridor tersebut.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau berharap bank berkenaan dapat menambah pegangan hartanah di wilayah tersebut untuk merancakkan lagi pembangunan yang dilaksanakan.

“Dengan pembangunan yang giat dijalankan di koridor-koridor pembangunan, Bank Rakyat diharap dapat menambah pegangan harta di kawasan WPI.

“Penyertaan pelbagai pihak di dalam pembangunan koridor adalah amat digalakkan kerana pelbagai peluang ekonomi yang diperluaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Bank Rakyat Cawangan Masai di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Beliau yakin pembukaan cawangan terbaru Bank Rakyat di lokasi strategik itu dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggannya.

“Sambutan yang baik dan menggalakkan terhadap produk dan perkhidmatan Bank Rakyat dapat dilihat menerusi prestasinya yang cemerlang dan saya percaya ini juga merupakan faktor untuk Bank Rakyat membuka lebih banyak cawangan di Johor dan seluruh negara,” katanya.

Katanya, dengan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM828.8 juta yang dicatatkan Bank Rakyat, beliau yakin bank berkenaan mempunyai potensi besar untuk berkembang ke peringkat global.

March 29, 2008 by wilayahpembangunaniskandar

Disneyland akan datang ke Wilayah Pembangunan Iskandar?

disney.jpg

Terdapat beberapa artikel mengenai ura-ura yang Disneyland akan dibina di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Artikel-artikel tersebut telah menyatakan bahawa pegawai-pegawai rasmi Walt Disney telah berjumpa dengan pengarah urusan Khazanah Holding, Datuk Azman Mokhtar dan pegawai-pegawai eksekutifnya yang lain bagi membincangkan hal ini.  Awal 2007, pegawai-pegawai dari Disney juga telah dibawa melawat kawasan WPI berhampiran dengan Link Kedua.

Mereka juga diberi taklimat lengkap berkenaan pembangunan WPI serta insentif yang bakal mereka nikmati jika bersetuju datang ke WPI. Sehingga sekarang belum ada jawapan dari perbincangan tersebut. Di samping itu, pihak Khazanah juga telah berbincang dengan pihak Warner Brothers untuk mewujudkan taman tema yang mampu menarik pelabur datang ke WPI.

Beberapa persoalan yang perlu dipertimbangkan:

1. Adakah betul kemasukan Disneyland menguntungkan? Kepada siapa? Bagaimana?

2. Apakah kesan sosial kepada pembangunan Disneyland ke WPI?

3. Apakah penglibatan orang Malaysia dalam pembangunan Disneyland atau setakat menyediakan tanah untuk pembangunannya sahaja?

Sumber artikel:

Sumber 1 : The Star

Sumber 2: Blog aglocojalurgemilang

Sumber 3: Brunei Times

Wilayah Pembangunan Iskandar = Wilayah Pembangunan Singapura?

March 27, 2008 by wilayahpembangunaniskandar

(Part 3)

Mari Tengok Bumi dari Satelit.

singapore-dev.jpg

Sila klik di gambar di atas jika anda mahu tengok bumi dari satelit. nak tengok rumah sendiri pun boleh. klik pada rajah (-) atau (+) untuk kecil dan besarkan peta. boleh pilih nak tengok peta sahaja atau muka bumi atau dua-dua sekali.

Jika di zoom peta ni akan dapat lihat dengan jelas bahawa Singapura sudah tak boleh nak berkembang lagi. samada dia tambak laut lagi atau ambik tanah kat malaysia. pemimpin singapura ni cerdik2 terutama lee kuan yew. dulu pun pernah ada ura2 yang singapore akan masuk malaysia. mungkin melalui WPI ni la kut salah satu jalannya. senang aje, dengan beli pemimpin malaysia boleh dapat tanah di johor. bijak-bijak…..

 

Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) = Wilayah Pembangunan Singapura?

March 26, 2008 by wilayahpembangunaniskandar

(Part 2)

MALAYSIAPORE - Perdana Menteri Malaysia (Abdullah Badawi) buat kerjasama dengan Perdana Menteri Singapura (Lee Hsien Long)

pak-lah1-meet-singapore-pm0233.jpg

Saya terjumpa satu artikel di dalam Forbes mengenai kerjasama antara pemimpin Malaysia dan Singapura untuk mewujudkan kerjasama bagi menguruskan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Dalam pertemuan tersebut kedua-dua pemimpin negara ini telah bersetuju untuk menubuhkan Joint Ministerial Committee untuk memantau kerjasama ekonomi di WPI yang dihubungkan melalui Selat Tebrau. Kedua belah pihak telah bersetuju untuk memperkenalkan kad pintar untuk memudahkan aliran trafik dua hala antara Singapura-Malaysia. 

 

WPI adalah pembangunan di selatan Johor seluas 850 batu persegi yang seluas 3 kali ganda Singapura. WPI menjadi sau peluang pelaburan yang pasti direbut oleh rakyat Singapura kerana nilai tanah yang murah lebih kurang 1/30 dari nilai tanah di Singapura (www.offplanpropertyexchange.com). Harga tanah dijangka akan melambung atas permintaan yang tinggi terutama dari rakyat Singapura bagi melengkapkan strategi pembangunan bagi melengkapkan kualiti kehidupan yang lebih baik yang tidak dapat disediakan di pulau mereka yang sempit itu.

danga-bay-water-front.jpg

Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) = Wilayah Pembangunan Singapura?

March 23, 2008 by wilayahpembangunaniskandar

(Part 1)

Saya terpanggil untuk meneroka lebih mendalam tentang Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) atau Iskandar Development Region (IDR) setelah kerajaan beria-ia sangat untuk melaksanakan dalam masa terdekat ini. Bukan apa, sebagai penduduk yang akan menerima tempias pembangunan WPI, saya rasa perlu untuk mempunyai ilmu dan faham tentang apa yang bakal berlaku kerana kerajaan tidak memberi gambaran yang jelas dan tepat tentang kesannya kepada rakyat terutama penduduk yang tinggal di Johor Bahru dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Dalam surat khabar cuma kata pembangunan ini akan menguntungkan penduduk setempat khususnya orang Melayu. Tapi macamana ia menguntungkan tidak jumpa pulak huraiannya. Atas dasar itu, kajian yang tidak seberapa ini mungkin dapat membuka mata ramai tentang kesan dan akibat WPI kepada penduduk khususnya diri saya.

Saya akan huraikan kajian saya ini dalam bentuk soalan supaya dapat difikirkan bersama dan mudah difahami oleh orang kampung mungkin tanah mereka akan diambil dan terpaksa dipindahkan ke kawasan lain atas dasar memberi laluan kepada pembangunan di negara tercinta.


Apakah Wilayah Pembangunan Iskandar?

Cara termudah untuk dapatkan maklumat tentang WPI ialah melalui website WPI (www.wpi.com.my). Di dalam website ini terdapat brosur tentang WPI yang boleh didownload untuk dibaca. Cuma masalah disini maklumatnya agak terhad kerana maklumatnya ringkas dan tidak terperinci. Oleh itu saya cuba memahami serba sedikit apa yang diterangkan daripada brosur ini.

brosur-wpi.jpg

Muat turun brosur WPI di sini.(sila simpan dalam komputer, takut hilang nanti)

 

Berikut adalah petikan ucapan PM dalam brosur tersebut:

 

Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) adalah pelan jangka panjang kerajaan saya untuk mengubah lanskap Johor Selatan menjadi kawasan pembangunan yang premier. Apabila siap sepenuhnya pada 2025, WPI yang keluasannya tiga kali saiz Singapura akan menjadi sebuah metropolis yang serba moden, dengan tiga juta penduduk serta menawarkan taraf kehidupan antara yang terbaik di rantau ini. Pada waktu itu, WPI akan memiliki pelbagai produk pelancongan, tapak untuk seni bina yang masyhur, penginapan idaman di pesisir pantai, sektor perkhidmatan, kewangan yang berdaya maju dan sistem pengangkutan bersepadu sepenuhnya.

Perancangan ke arah menjadikan wawasan itu sebagai kenyataan sudah pun bermula. Kerajaan saya juga sudah mengumumkan pelbagai insentif, termasuk potongan cukai bagi beberapa industri perkhidmatan terpilih, selain membenarkan pelabur mendapatkan sumber manusia untuk industri itu dari serata dunia. Kami juga melonggarkan syarat berhubung pemilikan asing dalam sektor terpilih. Untuk merancakkan pelaksanaan wilayah itu, kerajaan juga menubuhkan sebuah badan kawal selia bagi menjadikan urusan perniagaan dan pelaburan di WPI, satu pengalaman yang menyenangkan.

Ada banyak faktor mengapa Iskandar adalah syurga untuk pelaburan. Dari segi geografinya, ia terletak di antara India dan China iaitu dua gergasi baru ekonomi yang menawarkan pasaran yang besar, kos perniagaan yang lebih murah berbanding pesaing di rantau ini, selain sistem perundangannya yang mudah. Iskandar juga dihubungkan dengan dunia luar melalui tiga pelabuhan utamanya, dua lapangan terbang antarabangsa dan rangkaian lebuh raya yang canggih serta mesra pengguna. Sejak pelancarannya akhir 2006, lebih 1,000 pelabur dari Malaysia, Singapura, Timur Tengah, China, India dan Amerika Syarikat sudah meninjau peluang di Iskandar. Malah, ramai daripada mereka menyatakan minat untuk melabur di situ.

Dianugerahkan dengan hutan hujan tertua dunia, paya bakau, pulau-pulau yang indah dan pesisir pantai yang panjang, Iskandar akan menjadi model untuk pembangunan mapan dan mesra alam. Untuk itu, perancangan yang rapi dan berhati-hati telah dilakukan bagi memastikan WPI menjadi kawasan pertumbuhan paling pesat di rantau ini menjelang 2025.

Dato’ Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi

 

 

Antara persoalan yang bermain difikiran:

1. Apa itu pembangunan premier?

2. Untuk siapa metropolis yang serba moden, senibina yang masyhur, penginapan idaman di pesisir pantai?

3. kenapa perlu dilonggarkan syarat pemilikan asing?

4. syurga pelaburan untuk siapa?

5. betulke kat JB ni ada hutan hujan tertua di dunia?

 

 

Untuk lebih mudah faham dan maklumat lanjut boleh rujuk maklumat yang terdapat di dalam wikipedia disini.

 

 

 

 

Kawasan manakah yang bakal terlibat dengan WPI?

map-development.jpg

(sila rujuk brosur untuk lebih jelas)

Ini adalah kawasan yang terlibat dengan WPI. Sekali imbas dah macam sebahagian pembesaran Singapura. Senang tak payah susah-susah gali pasir. Beli tanah dengan pemimpin-pemimpin Malaysia aje. Murah dan Mudah. Kawasan yang terlibat adalah sampai ke Majlis Perbandaran Kulai (termasuklah rumah Mawi di Felda Taib Andak. Jangan rumah Mawi pun kena ambik sudah le), Pasir Gudang dan Pontian.


Kenapa sumber maklumat di dalam website hanya disediakan dalam bahasa Inggeris?

Yang saya memusykilkan ialah kenapa website www.wpi.com.my, www.idr.com.my, www.irda.com.my, dan www.sjer.com.my menggunakan website yang sama sedangkan semua ini menjalankan fungsi yang berbeza.

Yang keduanya kenapa semua website menerangkan tentang WPI ini dalam bahasa Inggeris sedangkan yang akan membaca dan yang paling ramai terlibat adalah dikalangan orang Melayu. Tidak bolehkah sediakan satu website dalam bahasa Melayu supaya mudah penduduk boleh baca dan faham.

Juga tiada satu badan atau orang perseorangan yang datang ke balai raya atau ke ke kampung-kampung untuk terangkan tentang WPI hingga ke peringkat akar umbi. Apa salahnya menyediakan satu badan bertindak untuk menerima input penduduk setempat di kawasan terlibat. Ajak la orang Kampung Pasir, Kampung Melayu dan yang sewaktu dengannya sebagai wakil setempat.


Adakah penduduk boleh menghalang jika tanah mereka diambil bagi tujuan pembangunan?

Jawapan bagi persoalan di atas ialah rakyat tidak boleh menghalang pengambilan balik tanah bagi kegunaan persekutuan sebagaimana terkandung dalam Akta Pengambilan Balik Tanah 1960. Kerajaan Persekutuan boleh mengambil tanah melalui kerajaan negeri kerana urusan tanah dibawah bidang kuasa negeri. Yang akan meluluskan ialah exco negeri yang terdiri dari ADUN atau wakil rakyat yang dipilih oleh kita rakyat malaysia yang mengundi dia dengan diketuai oleh Menteri Besar (di Johor Ghani Othman la).

Penduduk cuma boleh merundingkan jumlah pampasan yang boleh diterima sahaja. Maklumat lanjut sila buka buku akta ni yang boleh dibeli di kedai buku di Angsana atau kedai-kedai buku bahagian undang-undang.

 

Persoalannya, adilkah tanah datuk nenek kita diambil dan dijual kepada orang Singapura?

 

Kenapa WPI dikatakan menguntungkan Singapura?

“Wawasan Malaysia untuk selatan Johor adalah cemerlang…”

Chua Lee Hoon, Pengarang Review, 2 Jun 2007, The Straits Times, Singapore

“Dengan adanya Iskandar, kita boleh mengalihkan perniagaan yang tidak akan menguntungkan di Singapura - kerana masalah kekurangan tanah dan pelbagai halangan lain - tapi menguntungkan jika dilakukan di selatan Johor”

Manu Bhashkaran, Felo Kanan Penyelidikan, Partner and Member of the Board, Centennial Group Inc. 5 Mei 2007,

The Straits Times, Singapore

Ini adalah 2 petikan komen daripada brosur yang didownload dari website yang disebut di atas. Rasanya dah boleh faham macamana faedah kepada Singapura. Dah tak laku kat tempat dia baru nak buang kat Johor.


Rakyat Singapura bakal untung sebab mereka boleh beli rumah, pejabat atau hotel yang dibina di atas tanah orang Malaysia yang diambil kerana harga yang murah jika dibandingkan dengan harga di Singapura. Cuba kita lihat sama-sama di sini. Harga sebuah rumah flat di Singapura ialah dalam lingkungan SGD200,000 (RM 460,000) hingga SGD 700,000 (RM 1.6 juta) www.hdb.gov.sg

Statistik Harga Rumah di Singapura

TOWN

3-ROOM

4-ROOM

5-ROOM

EXECUTIVE

ANG MO KIO

$203,000

$307,000

$423,000

$550,000*

BEDOK

$193,000

$257,000

$400,000

$440,000*

BISHAN

$238,000*

$340,500

$480,000

$568,000*

BUKIT BATOK

$183,000

$305,000

$430,000

$431,800

BUKIT MERAH

$230,000

$428,000

$573,000

-

BUKIT PANJANG

$178,000

$249,000

$319,000

$400,000*

BUKIT TIMAH

$255,000*

$380,000*

$440,000*

$638,500*

CHOA CHU KANG

$169,800

$253,000

$313,000

$380,000

CLEMENTI

$210,000

$335,000

$484,500

$600,000*

GEYLANG

$185,000

$271,500

$435,000*

$410,100*

HOUGANG

$184,000

$263,000

$349,000

$416,000

JURONG EAST

$190,800

$267,000

$390,000

$490,000*

JURONG WEST

$170,000

$242,000

$315,000

$360,000

KALLANG/WHAMPOA

$212,000

$353,000

$461,500

$522,500*

PASIR RIS

-

$275,500

$340,500

$455,000

PUNGGOL

-

$293,000

$358,000

$410,000*

QUEENSTOWN

$220,000

$425,000

$591,000

$757,500*

SEMBAWANG

-

$257,500

$308,000

$365,000*

SENGKANG

-

$281,000

$334,000

$421,300

SERANGOON

$187,000

$275,500

$350,000

$424,000*

TAMPINES

$222,000

$293,000

$350,000

$446,000

WOODLANDS

$161,300

$248,000

$300,000

$380,200

OVERALL

$197,000

$273,000

$340,000

$415,000

                                        (Sumber: www.hdb.gov.sg)

Berapa ramai orang Malaysia boleh beli rumah harga macam tu jika dibuat dikawasan WPI? Bos tempat saya kerja pun belum tentu boleh beli rumah harga macam ni. Rumah banglo di Johor pun tak sampai RM500 ribu. Rumah teres setingkat kos sederhana (RM100,000 hingga RM 200,000) untuk duduk sendiri di JB pun belum mampu dibeli oleh orang yang duduk di JB, inikan pula harta tanah berharga ratusan ribu ringgit.


Menurut program kerajaan dalam Malaysia My Second Home Programme (www.mm2h.gov.my), penduduk asing boleh beli harta tanah di Malaysia yang berharga lebih RM 250,000 (SGD 109,000-murahnya bagi orang Singapura). Rumah kedai atau ruang pejabat di Malaysia lebih mahal dari harga rumah tetapi jauh lagi murah jika dibandingkan dengan harga di Singapura.


Jika saya orang Singapura amatlah beruntung kerana harta tanah serta barang keperluan boleh dibeli pada harga yang amat murah dan kekal menjadi hakmilik saya dan keturunan saya selama saya tidak menjual tanah tersebut.


Persoalannya ialah apa yang akan berlaku jika separuh kawasan WPI ni dibeli oleh orang Singapura?

Maka WPI ni jadi hakmilik Singapura lah. Orang Malaysia hanya boleh melawat kawasan-kawasan menarik di tepi Pantai Lido untuk makan steamboat. Lepas tu balik ke rumah di kawasan kampung nun jauh di Kulai atau Pekan Nenas, Pontian.


Persoalan yang masih perlu diterokai:

Masih terdapat banyak lagi persoalan yang belum terjawab. Mungkin dilain kali kita bertemu lagi. Masih boleh difikir-fikirkan bersama wahai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum kerana WPI melibatkan kepentingan semua kaum yang duduk di Johor khususnya. Antaranya:

  • Tak cukupkah pembangunan di Johor Bahru sekarang ini?
  • Kenapa tidak dibangunkan kawasan belum membangun di tempat lain?
  • Mampukah orang Johor bergerak selari dengan pembangunan yang drastik ini?
  • Tidak cukupkah dengan kesan kenaikan harga barang akibat ramai orang Singapura membeli belah di Johor Bahru?
  • Kenapa tidak dibuat satu jambatan baru yang mudah orang Singapura dan Malaysia menjalankan urusniaga di kedua-dua negara?
  • Jika berlaku pengambilan tanah, dimanakah penduduk akan menggantikan tanah tersebut untuk tinggal? Berapa harganya?
  • Siapakah pemilik syarikat pemaju dan syarikat-syarikat utama yang terlibat dalam WPI? Boleh rujuk di sini.
  • Kenapa pulak Robert Kuok (orang terkaya di Malaysia) ada dalam Majlis Penasihat WPI?
  • Jika WPI akan menjadi lambakan penduduk Singapura apa yang bakal berlaku seterusnya? Harga barang keperluan? Kuasa beli?
  • Adakah kita sebagai anti pembangunan jika mempersoalkan WPI?
  • Siapakah yang merancang pembangunan WPI? Adakah orang tempatan JB terlibat atau orang yang duduk di KL merancang di atas kertas sahaja?
  • Kenapa tiada satu badan berfungsi menyalurkan maklumat dengan jelas kepada kepada rakyat Johor?
  • Apa yang bakal berlaku kepada Kampung Melayu, Kampung Pasir, kampung Skudai Kanan, Kampung Majidee dan kampung-kampung lain yang sewaktu dengannya?
  • Mampukah anak generasi kita menghadapi pembangunan yang pesat ini? Apa persediaan kita untuk itu?
  • Dimana saluran untuk penduduk dan rakyat memberi idea dan pandangan tentang WPI?
  • Jika WPI ini ‘berjaya’, adakah koridor-koridor lain pun akan dibuat benda yang sama?
  • Dan banyak lagi persoalan yang bakal muncul…….memerlukan jawapan….di dunia dan akhirat.


Semoga maklumat yang tidak seberapa ini mampu membuka mata pemimpin-pemimpin kita semua. Jangan hanya menyokong dan meluluskan sahaja semua yang dibentangkan. Guna akal yang waras dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat untuk menjaga kepentingan rakyat sebab nanti setiap pemimpin akan disoal atas apa yang dipimpimnya selepas mati kelak. Selamat berkoridor…

 

Yang benar,

Orang Johor Lama

* Saya harap tulisan saya ini dapat disebarkan kepada ramai terutama pemimpin-pemimpin kita supaya mereka faham dan sedar apa yang berlaku dan bakal berlaku terutama kepada penduduk di kawasan WPI. Tulisan ini adalah untuk menjaga keharmonian semua kaum yang baru mengorak langkah ke arah kehidupan bersama yang aman sejahtera. Saya terlalu sayang untuk melihat keharmonian antara kaum ini dihancurkan oleh tangan-tangan yang tamak haloba.

“Aku tidak kaya, tetapi aku tidak mahu mengemis di bumi sendiri.” - Rakyat Malaysia

  jika-ini-anak-anakku1.jpg