Bank Rakyat disaran melabur di WPI

By wilayahpembangunaniskandar

bank-rakyat.jpg

JOHOR BAHRU 29 Feb. – Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Bank Rakyat) disaran membuat pelaburan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) memandangkan potensi tinggi dimiliki kawasan pembangunan koridor tersebut.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau berharap bank berkenaan dapat menambah pegangan hartanah di wilayah tersebut untuk merancakkan lagi pembangunan yang dilaksanakan.

“Dengan pembangunan yang giat dijalankan di koridor-koridor pembangunan, Bank Rakyat diharap dapat menambah pegangan harta di kawasan WPI.

“Penyertaan pelbagai pihak di dalam pembangunan koridor adalah amat digalakkan kerana pelbagai peluang ekonomi yang diperluaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Bank Rakyat Cawangan Masai di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Beliau yakin pembukaan cawangan terbaru Bank Rakyat di lokasi strategik itu dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggannya.

“Sambutan yang baik dan menggalakkan terhadap produk dan perkhidmatan Bank Rakyat dapat dilihat menerusi prestasinya yang cemerlang dan saya percaya ini juga merupakan faktor untuk Bank Rakyat membuka lebih banyak cawangan di Johor dan seluruh negara,” katanya.

Katanya, dengan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM828.8 juta yang dicatatkan Bank Rakyat, beliau yakin bank berkenaan mempunyai potensi besar untuk berkembang ke peringkat global.

One Response to “Bank Rakyat disaran melabur di WPI”

  1. Zita Says:

    Good for people to know.

Leave a Reply