Archive for April, 2008

Pak Lah Tukar WPI kepada Iskandar Malaysia?

April 11, 2008

Dipetik dari khairulfaizi – http://minda-kembara.blogspot.com/

“Dengan penuh tekun, saya menanti kemunculan Pak Lah dihadapan kaca televisyen dalam Buletin Utama kerana pada sebelah siang tadi Pak Lah telah hadir ke Johor dalam lawatan beliau untuk mengembalikan sokongan pimpinan UMNO kepada beliau.

Wajahnya sangat lesu dan kata-kata Pak Lah seperti sangat berat untuk dikeluarkan daripada mulut sehinggakan Pak Lah tersasul menyebut “untuk menyelesaikan masalah problem…”.

Pak Lah terlupa agaknya masalah dan ‘problem’ tu sama sahaja. Kehadiran Pak Lah ke Johor hari ini memang mempunyai beberapa agenda yang tersirat dan tersurat. Selain daripada bertujuan untuk mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO negeri Johor dan Ketua UMNO Bahagian-bahagian (berkempen secara tidak langsung untuk pemilihan parti) Pak Lah juga hadir untuk mengumumkan bahawa Wilayah Pembangunan Iskandar akan bertukar nama sekali lagi. (Tukar nama lagi???) 

Saya ingin mengulas beberapa perkara dalam kunjungan Pak Lah ke Johor khususnya Pak Lah sekarang ini sedang dilanda masalah untuk mengekalkan kedudukan sebagai Presiden UMNO tetapi ketika ini saya ingin menyebut tentang pengumumkan Pak Lah bahawa Wilayah Pembangunan Iskandar telah diubah namanya, sekali lagi.Wilayah Pembangunan Iskandar (Iskandar Development Region) merupakan koridor pembangunan yang dilaksanakan di selatan Johor. Sebelum ini, koridor ini dikenali sebagai South Johor Economic Region (SJER) atau Pembangunan Wilayah Ekonomi Selatan Johor. SJER ditubuhkan pada 30 Julai 2006 dan pada 4 November 2006 koridor ini dinamakan pula WPI bersempena nama Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

Hari ini Pak Lah mengumumkan koridor ini ditukarkan nama Iskandar Malaysia (IM).Saya tidak faham kenapa perlu koridor ini ditukar namanya sekali lagi. Adakah Pak Lah beranggapan bahawa dengan menukarkan nama WPI kepada IM akan meningkatkan pelaburan ke koridor tersebut? Saya pasti dengan penukar nama ini akan meningkat lagi kos koridor tersebut.  

Jika anda melayari laman web berikut, http://www.idr.com.my/ (laman web untuk WPI) dan http://sjer.com.my/ (laman web untuk SJER) anda akan melihat paparan yang sama kerana kedua-dua laman web ini diwujudkan untuk mempromosikan koridor ini. Adakah selepas ini satu lagi laman web akan diwujudkan lagi sempena nama baru bagi WPI?  

Paling pasti, Pak Lah menyebut bahawa penukaran nama koridor ini tidak mengubah polisi yang telah diputuskan sebelum ini. Bermakna, perkara yang berkaitan dengan pemilikan tanah, kebanjiran pekerja asing, keutamaan yang diberikan kepada pelabur asing dan pelbagai perkara yang dibentangkan sebelum ini oleh bekas ADUN Senggarang, Dr Mohd Ramli Bin Mohd Kari dalam sidang DUN Johor tidak akan berubah. 

YB Dr Mohamad Taslim (PAS – Maharani), YB Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh (PAS – Sungai Abong) dan Dr Boo Cheng Hau (DAP – Skudai) serta YB pembangkang yang lain mesti memainkan peranan mereka dalam menyelesaikan masalah berkaitan dengan SJER atau WPI atau IM yang bakal menghantui rakyat Johor pada masa akan datang.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Taman Renggam

Jaya, Simpang Renggam
11 April 2008, 9.08 malam
http://minda-kembara.blogspot.com/

 

Ini Mungkin Berlaku Kepada Kita…

April 4, 2008

Tanah dan Maruah Diri

jika-tanah-diambil.jpg
Klik sini untuk baca artikel di atas

Adakah ini akan berlaku kepada rakyat di Johor selepas tanah mereka diambil bagi tujuan WPI? Tiada siapa yang boleh berbuat apa-apa jika jadi macam ni. Isu tanah adalah amat sensitif kerana melibatkan harga diri dan maruah seseorang. Bayangkan jika kita dan keluarga dihalau keluar dari rumah yang sudah kita duduki berpuluh-puluh tahun. Kita sudah tiada harga diri. Macam apa yang berlaku di Palestin, red indian di amerika dsb. Perkara ini boleh berlaku jika kerajaan (negeri atau persekutuan) bertindak menggunakan Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil mana-mana tanah bagi tujuan kebaikan rakyat ramai (subjektif utk diukur). Akta ini masih boleh dihalang jika Kerajaan Negeri tidak meluluskan kerana tanah adalah dibawah bidang kuasa eksekutif negeri sebagaimana dinyatakan di bawah Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan. Kecuali negeri diperintah oleh kerajaan yang sama dengan kerajaan persekutuan maka kecenderungan untuk kerajaan negeri meluluskan permohonan kerajaan persekutuan adalah tinggi. Dalam kes di Johor, kerajaan negeri adalah sama dengan kerajaan persekutuan (BN).

Sebab itu jika diselidiki dan diteliti sebenarnya tanah tidak bertuan yang beribu-ribu ekar di hutan yang belum diteroka boleh diserahkan kepada sesiapa sahaja atas kelulusan kerajaan negeri dengan hanya mengendorse (mengeluarkan) geran atau suratan hakmilik kepada individu atau syarikat tersebut. Ramai ADUN yang mampu memiliki tanah beribu ekar adalah melalui cara ini. Pergi ukur tanah seluas mana yang hendak dan buat pelan sendiri. Tanah bertuan diletakkan nama sendiri. Hakmiliknya dibuktikan melalui geran yang dikeluarkan.

Bagi kes di atas, tanah yang diduki tidak mempunyai hakmilik. lagi parah sebab bukti pendudukan bukan bukti hakmilik dari segi undang-undang (manusia/malaysia). Kita di Malaysia mengikut sistem penjajah (UK, Austalia dsb) yang mengamalkan sistem yang diberi nama Sistem Torrens. Sistem Torrens ini menyatakan bahawa bukti pemilikan tanah seseorang adalah berdasarkan suratan hakmilik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Jangan seronok dulu kepada yang ada geran (sampai orang nak tengok geran pun takut nak tunjuk), sebenarnya ada 2 salinan geran asal. Satu disimpan oleh tuan tanah dan satu lagi disimpan di Pejabat Tanah/ Pejabat Tanah dan Galian.

Geran yang disimpan oleh tuan tanah tidak berguna kerana pengambilan tanah atau ubah sempadan atau pecah sempadan adalah berdasarkan geran tanah yang disimpan di pejabat tanah bukan yang disimpan oleh tuan tanah. Geran di pejabat tanah adalah yang muktamad. Itu yang terdapat kes nama dalam geran di tangan lain tetapi nama di dalam geran di pejabat tanah lain. Sesiapa sahaja boleh memohon untuk melihat geran tanah sesiapa sahaja di pejabat tanah dengan bayaran RM30. Kita boleh tengok nama pemilik, luas, berapa bahagian setiap pemilik (1/2,1/4/ atau 3/4 dsb), lokasi dan juga sesiapa yang mengkaveat (meletakan hak keatas tanah macam bank, cagran tanah, pemilik bersama dsb) ke atas tanah tersebut. Contoh mudah, kita beli rumah di taman perumahan, di dalam geran sebenarnya akan dikaveatkan nama bank dalam geran menunjukkan tanah tersebut boleh dituntuthak/dilelong oleh bank jika kita tidak boleh bayar pinjaman perumahan tersebut.

Bagusnya, pergilah setahun sekali atau bila-bila perlu terutama jika ada konflik berkaitan tanah ke pejabat tanah untuk mintak semak hakmilik (ramai yang tak tahu dan takut nak pegi pejabat tanah). Siapa empunya, apa hak anda, berapa bahagian keluasan anda punya. Ini akan menjadi rumit jika ada kematian dan dalam pembahagian harta pusaka. Boleh bergaduh sampai putus saudara. Berhati-hati hal tanah. Ia melibatkan maruah dan harga diri.

Bank Rakyat disaran melabur di WPI

April 1, 2008

bank-rakyat.jpg

JOHOR BAHRU 29 Feb. – Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Bank Rakyat) disaran membuat pelaburan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) memandangkan potensi tinggi dimiliki kawasan pembangunan koridor tersebut.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau berharap bank berkenaan dapat menambah pegangan hartanah di wilayah tersebut untuk merancakkan lagi pembangunan yang dilaksanakan.

“Dengan pembangunan yang giat dijalankan di koridor-koridor pembangunan, Bank Rakyat diharap dapat menambah pegangan harta di kawasan WPI.

“Penyertaan pelbagai pihak di dalam pembangunan koridor adalah amat digalakkan kerana pelbagai peluang ekonomi yang diperluaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Bank Rakyat Cawangan Masai di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Beliau yakin pembukaan cawangan terbaru Bank Rakyat di lokasi strategik itu dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggannya.

“Sambutan yang baik dan menggalakkan terhadap produk dan perkhidmatan Bank Rakyat dapat dilihat menerusi prestasinya yang cemerlang dan saya percaya ini juga merupakan faktor untuk Bank Rakyat membuka lebih banyak cawangan di Johor dan seluruh negara,” katanya.

Katanya, dengan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM828.8 juta yang dicatatkan Bank Rakyat, beliau yakin bank berkenaan mempunyai potensi besar untuk berkembang ke peringkat global.